• Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Veterinar

MAJLIS PELANCARAN HALAQAH VETERINAR DAN KEMPEN KESEDARAN PENYAKIT HAIWAN NEGERI TERENGGANU TAHUN 2022

Ditulis pada .

   

 

Dewan Konvensyen ,Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu

12 Mei 2022

Program Halaqah Veterinar-Kesedaran Penyakit Haiwan ini merupakan anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu telah berjaya menghimpunkan 117 hadirin yang terdiri daripada 60 orang pemain industri dan 45 kakitangan Jabatan dan selebihnya jemputan daripada Ketua Jabatan agensi Mafi Inc. Terengganu, pegawai-pegawai UPEN serta petugas media.

Dirasmikan oleh YB Dr. Azman bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, majlis ini turut menampilkan panel penceramah iaitu Dr. Siti Hajar Nor binti Muhammad (Seksyen Kawalan Penyakit & Zoonotik, JPV Malaysia), Dr. Nurul Syazwani binti Radzuan (Seksyen Keselamatan Makanan Hasilan Ternakan, JPV Pahang), dan En. Mohd Shahihan bin Mohd Tahar (Ketua Bahagian Penguatkuasa Veterinar Terengganu) yang telah membincangkan mengenai topik berkaitan; 1) Pemantauan Penyakit Ternakan, 2) Pemeriksaan Veterinar dan Keselamatan Produk Ternakan untuk Kegunaan Import, Eksport, dan Domestik, serta 3) Penguatkuasaan Undang-Undang Veterinar. Bertepatan dengan matlamat bagi menyediakan platform pertukaran dan penyampaian maklumat serta ilmu dengan penglibatan tenaga pakar yang bersesuaian, sesi dialog ringkas turut dijalankan dalam majlis tersebut.

YB Dr. Azman juga sempat menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada pemain industri yang bekerjasama dalam menjayakan Program Pensijilan MyGAP Negeri Terengganu 2021 dan juga kepada pemain industri yang menunjukkan komitmen dalam usaha mengekalkan Standard Minima Amalan Perladangan juga Pengilangan Yang Baik Negeri Terengganu 2021. Selain itu, sesi penyerahan vaksin kepada kesemua 8 Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah turut telah dijalankan.

Semoga hadirin mendapat manfaat dan kesedaran penyakit haiwan dapat dipertingkatkan bukan sahaja dalam kalangan kakitangan Jabatan mahupun penternak negeri Terengganu yang bertepatan dengan konsep Public-Private Partnership dalam tindakan kawalan penyakit haiwan ini.